Tip Praktikal Memastikan Agar Percutian Menggembirakan Tidak Menjadi Tragedi Ngeri Buat Anda Dan Keluarga
1. Pilih Tingkat Yang Betul
Tingkat paling bawah adalah antara tingkat yang patut anda jauhi — 
terutamanya jika ia jauh dari lobi. Jika anda tidak dapat mengelak, 
minta agar diberi bilik yang pintunya menghadap kawasan dalaman hotel, 
dan bukannya menghadap jalan raya atau tempat letak kereta.
Ini kerana tingkat bawah merupakan sasaran mudah bagi mereka yang ingin memecah masuk ke bilik hotel anda.
Jauhi juga bilik-bilik di tingkat 6 dan ke atas kerana jika terjadi 
kebakaran besar, anda mungkin gagal diselamatkan. Ini kerana kebanyakan 
tangga bomba hanya boleh mencapai ke tingkat 5 atau 6 sahaja.
Bilik paling ideal adalah yang di tingkat 3 atau tingkat 4. Jika terjadi
 kebakaran, anda mudah diselamatkan. Bilik di sini juga tidak sepantas 
untuk di akses oleh penjenayah seperti di tingkat lebih rendah.
Syarikat-syarikat antarabangsa yang telah berpengalaman dengan krisis 
 jenayah kebanyakannya mempunyai kontrak khas dengan hotel agar 
memberikan bilik di tingkat-tingkat ini untuk staff mereka.
2. Bawa Sendal Pintu
Benda mudah ini mungkin menjadi sebab anda selamat — tidak kiralah jika anda menginap di hotel 5 bintang atau hotel murah yang dibina di dalam bangunan rumah kedai.
Secanggih manapun sistem keselamatan hotel anda, ia boleh dipecah masuk 
tanpa meninggalkan kesan. Pilihan terbaik anda ialah gunakan dead-bolt 
di pintu bersama sendal pintu yang anda bawa sendiri dari rumah.
Setiap kali anda berada di bilik, selitkan sendal getah ini di bawah 
pintu bilik. Alat kecil dan murah ini akan menjadi penghalang terakhir 
jika penjenayah berjaya mematahkan semua sistem keselamatan yang 
dipasang di pintu bilik hotel.
Benda terakhir yang anda mahu terjadi ialah penjenayah memasuki bilik anda sewaktu anda sedang tidur.
3. Biarkan Televisyen dan Lampu Terpasang
Membazir? Mungkin tidak. Membiarkan televisyen dan lampu terpasang 
apabila anda keluar memberi tanggapan kepada penjenayah yang anda masih 
berada di dalam bilik.
Jika anda perlukan khidmat housekeeping sewaktu di luar, biarkan lampu 
dan televisyen terpasang, dan letakkan notis “Jangan Ganggu” atau “Do 
Not Disturb” di tombol pintu. Sebelum keluar, telefon ke lobi dan 
beritahu mereka yang bilik anda boleh dibersihkan seperti biasa.
Ya, banyak hotel kini memerlukan keycard bilik diletakkan ke dalam slot 
kuasa di tepi pintu untuk memastikan sumber elektrik bilik anda terus 
terpasang. Jadi minta 2 kad bilik sewaktu anda mendaftar dan katakan 
ianya untuk teman sebilik yang mungkin datang kemudian.
Alternatif kedua ialah dengan menggunakan apa-apa kad lain yang sama 
saiz (seperti kad lama yang tidak diguna lagi) untuk dimasukkan ke slot 
itu (Nota: Helah ini mungkin berjaya untuk hotel dengan sistem lama 
sahaja).
4. Waspada dengan Kamera Tersembunyi
Sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran kamera tersembunyi. Anda tidak perlu menjadi artis popular atau ahli politik — kerana sesiapa saja boleh menyorokkan kamera tersembunyi di bilik anda.
Sedar-sedar, rakaman di bilik hotel anda sudahpun ditonton rakan sekerja dan jutaan penonton di Youtube.
Kamera pengintip yang dahulunya hanya digunapakai oleh pihak berkuasa 
kini mudah dibeli  di laman web dengan harga di bawah RM 100. Yang 
menakutkan ialah, kerana saiznya yang semakin kecil, kamera ini boleh 
disembunyikan di dalam lampu meja, kotak tisu, soket elektrik, pengesan 
asap, sehinggalah kepada objek kecil seperti pen.
Jika anda tidak mahu diri anda dirakam sewaktu di dalam bilik hotel, 
anda boleh membeli pengesan kamera tersembunyi yang ada di pasaran. 
Bergantung kepada jenis pengesan anda boleh mendapatkannya dengan kos di
 bawah harga RM 150.
5. Tips Untuk Barang Berharga
Sewaktu di bilik, pastikan barangan berharga seperti passport, wang atau
 dokumen penting tidak ditinggalkan. Tetapi jika anda terpaksa 
meninggalkannya, simpan atau sorok barangan anda. Antara caranya ialah 
menggunakan pita pelekat dan melekatkan dokumen itu di bawah laci meja 
atau tempat tersorok lainnya.
Pastikan juga laptop di simpan atau dikunci menggunakan kabel keselamatan jika anda meninggalkannya di bilik.
Jika anda mahu menyimpan barangan anda di peti besi bilik, uji peti besi
 itu terlebih dahulu. Ini kerana pihak hotel yang cuai kerap 
membiarkannya dengan password masterkey asal peti iaitu 000000. Untuk 
sesetengah hotel, dengan hanya menekan nombor tersebut, anda boleh 
menyebabkan pintu besi itu terbuka.
Jika ini terjadi, letakkan saja barangan anda di peti besi kaunter 
tetamu (untuk 3 bintang ke atas). Jika anda menghuni hotel bajet, anda 
perlu mencari alternatif lain.
Yang paling senang — jangan bawa barangan kesayangan anda sewaktu cuti.
6. Kenali Hotel Anda
Selepas check-in, ambil masa untuk cari tangga kecemasan. Jika terjadi kebakaran, anda tahu di mana tempat menyelamatkan diri.
Ambil juga beberapa minit untuk membiasakan diri anda dengan sistem 
telefon di bilik anda. Pastikan ianya berfungsi supaya anda dapat terus 
membuat panggilan kecemasan bila perlu.
Jika kunjungan kali pertama anda ke tempat letak kereta menakutkan anda 
(banyak hotel mempunyai tempat letak kereta yang gelap dan sunyi), 
gunakan valet parking. Ia mungkin agak mahal, tetapi ia lebih selamat, 
terutamanya jika anda seorang wanita dengan kereta mewah.
Jika terjadi sebarang kecurian, buat laporan polis kerana sesetengah 
barangan berharga yang dibeli dengan kad kredit mungkin dilindungi 
insuran.
7. Anda Wanita? Tips Tambahan 
Jika anda menginap bersendirian, anda kena lebih berhati-hati kerana anda merupakan sasaran kegemaran penjenayah. Ini kerana kaum wanita kerap membawa barang kemas berharga, lebih mudah dilemahkan, dan menjadi bonus untuk penjenayah yang mempunyai motif seks.
Pastikan sewaktu anda diberi kunci bilik, tetamu lain tidak tahu akan 
nombor bilik anda. Sewaktu menaiki lif, pastikan juga anda tidak 
bersendirian dengan tetamu lelaki lain. Jika anda diserang di dalam lif,
 tekan semua butang lif agar lif berhenti dan terbuka di setiap tingkat.
Jika anda ada sebarang urusan peribadi, buat urusan di kawasan orang 
ramai seperti di lobi atau di restoran di luar hotel. Kebanyakan kes 
jenayah bunuh di hotel selalunya terjadi akibat pertengkaran yang tidak 
terkawal di dalam bilik.
Percutian bersama keluarga atau kerja di luar kawasan yang menyebabkan 
anda terpaksa menginap di hotel mungkin memenatkan. Tetapi apapun 
situasi anda, jaga keselamatan diri.
Kerapkali tetamu yang tidak diundang mungkin staff housekeeping yang 
mahu membersihkan bilik. Tetapi pada masa yang sama, bilik anda juga 
mungkin diintai penjenayah tegar yang baru keluar 3 bulan dari penjara.
Jangan ambil ringan keselamatan di bilik hotel. Anda tidak mahu diri 
anda pula menjadi  tajuk utama akhbar dengan tajuk — Pembunuhan Ngeri di
 Bilik Hotel.
Jom share artikel penting ini dengan rakan-rakan dan orang-orang yang anda sayang.




 

No comments:
Post a Comment