Monday, March 3, 2014

DS Anwar Ibrahim Janji isytihar RM1 bersamaan US$1 jika menang di Kajang

http://t.co/SvW8GUThDW

Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini sekali lagi menjawab tuduhan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa satu undi kepada dirinya ibarat memberikan undi kepada Amerika Syarikat.


Calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu berseloroh jika beliau menang dalam pilihan raya kecil (PRK) itu maka RM1 akan diisytiharkan bersamaan US$1.

"Ada mendakwa tak boleh beri satu undi kepada Anwar. Satu undi Anwar macam satu undi kepada Amerika.

"Menang sahaja saya, saya isytihar RM1 bersamaan US$1 di Kajang. Saya dah 15 tahun dihamun setiap malam. Siapa ahli politik paling banyak kena maki. Sayalah," katanya dalam satu majlis Dialog Anak Muda di Seremban hari ini.

Pertengahan bulan lalu, Dr Mahathir memberi amaran kepada rakyat supaya tidak memilih Anwar sekiranya tidak mahu melihat Malaysia menjadi kerajaan pro-Amerika Syarikat.
Bekas perdana menteri itu berkata, Malaysia akan menjadi sebuah negara pro-Amerika jika Anwar diberikan peluang berada di tampuk kuasa.

"Jika anda mahu sebuah kerajaan pro-Amerika, undilah Anwar," kata Dr Mahathir semasa ditemui selepas berakhir forum "Global Peace and Conflict Resolution" di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri di Kuala Lumpur.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kemenangannya di Kajang tidak mampu menerajui Putrajaya, Anwar berkata kenyataan itu sudah dijangka dan Umno tidak perlu cemas.

Katanya, pemimpin dan bekas pemimpin Umno yang cemas mendengar pertandingannya di Kajang membuktikan satu kebimbangan luar biasa yang sedang berlaku di kalangan parti pemerintah.

“Itu boleh dijangka tetapi kalau betul, mengapa Umno macam histeria? Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin yang dah lama bersara dan sibuk kira wang untung daripada dana negara yang diambil tak semena-mena muncul menunjukkan kebimbangan yang luar biasa dalam PRK Kajang.



“Maknanya ada kesan dalam pertandingan saya di Kajang dari segi strategi,” katanya.

Muhyiddin pada minggu lalu berkata meskipun Anwar berjaya memenangi PRK DUN Kajang, calon Pakatan Rakyat itu tidak akan berjaya menerajui Putrajaya.

Katanya, sekiranya Anwar menang di Kajang hanyalah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dan Datuk Seri Najib Razak masih perdana menteri.

“Mungkin Selangor sebuah negeri besar dan kaya-raya, dia kata kalau dia menang di PRK Kajang ini adalah satu langkah paling dekat untuk sampai Putrajaya. Menang PRK sini tidak sampai ke Putrajaya.

“Yang menang sekarang BN. Perdana menteri kita Najib. Anwar kalau menang sebagai Adun. Yang menang di Kajang tidak jadi perdana menteri,” katanya ketika berucap di hadapan penyokong Barisan Nasional dan penduduk setempat di Kajang, Selangor. – 2 Mac, 2014.

No comments:

Post a Comment

2015 Hakcipta Terpelihara. Powered by Blogger.
  • Somethingtobeshared
  • +